Contoh kira gaji bersih: slip gaji RM5,000 sebulan
Bujang, warganegara bawah 60 tahun, gaji Januari 2026, tiada bonus dan tiada TP1. Ini angka yang keluar dari kalkulator di atas, bukan contoh daripada HASiL.
| Baris slip gaji | Pekerja (RM) | Majikan (RM) |
|---|---|---|
| Gaji kasar | 5,000.00 | 5,000.00 |
| KWSP (11% pekerja, 13% majikan) | −550.00 | 650.00 |
| PERKESO Keilatan | −24.75 | 86.65 |
| PERKESO LINDUNG 24 Jam | −37.15 | |
| SIP | −9.90 | 9.90 |
| PCB | −110.00 | – |
| Gaji bersih / kos majikan | 4,268.20 | 5,746.55 |
Daripada RM5,000, sebanyak RM731.80 dipotong sebelum gaji masuk bank. Majikan pula menanggung RM5,746.55 sebulan untuk pekerja yang sama. Kalau caruman PERKESO dan SIP itu dituntut melalui Borang TP1, PCB turun sedikit ke RM109.65.
PCB untuk gaji RM3,000 hingga RM15,000
Jadual ini guna andaian yang sama (Januari, warganegara bawah 60, KWSP 11%, LINDUNG 24 Jam aktif, tiada TP1). Lajur "kat. 2" dan "kat. 3" ialah kategori 2 dan 3 dengan dua anak bawah 18 tahun.
| Gaji | PCB bujang | PCB kat. 2 | PCB kat. 3 | Bersih (bujang) |
|---|---|---|---|---|
| 3,000 | 0.00 | 0.00 | 0.00 | 2,627.20 |
| 3,500 | 0.00 | 0.00 | 0.00 | 3,065.00 |
| 4,000 | 16.70 | 0.00 | 0.00 | 3,486.00 |
| 4,500 | 80.00 | 0.00 | 60.00 | 3,860.50 |
| 5,000 | 110.00 | 70.00 | 90.00 | 4,268.20 |
| 6,000 | 207.50 | 134.20 | 170.85 | 5,046.20 |
| 7,000 | 324.20 | 244.20 | 280.85 | 5,819.50 |
| 8,000 | 514.20 | 387.50 | 450.85 | 6,519.50 |
| 10,000 | 929.20 | 767.50 | 845.85 | 7,884.50 |
| 15,000 | 2,179.20 | 2,012.50 | 2,095.85 | 11,084.50 |
Cara kira PCB ikut formula HASiL
Sistem gaji berkomputer tak guna jadual PCB bercetak. Majikan kira guna formula dalam Spesifikasi Kaedah Pengiraan Berkomputer PCB 2026 (PDF, HASiL). HASiL nyatakan dalam dokumen itu bahawa Bajet 2026 tidak mengubah formula PCB; yang berubah cuma beberapa item potongan dalam Borang TP1 dan TP3. Kiraannya ada empat langkah.
Langkah 1: Tentukan kategori (1, 2 atau 3)
Kategori 1 untuk bujang. Kategori 2 untuk yang berkahwin dan pasangannya tidak bekerja, jadi anda dapat potongan pasangan RM4,000. Kategori 3 untuk yang berkahwin dan pasangannya bekerja, juga duda, janda, balu, atau bujang yang ada anak angkat. Potongan anak hanya masuk untuk kategori 2 dan 3.
Langkah 2: Kira pendapatan bercukai setahun (P)
PCB tidak dikira atas gaji sebulan sahaja. HASiL anggar pendapatan setahun: gaji yang sudah dibayar sejak Januari, gaji bulan ini, dan gaji yang sama untuk setiap bulan yang berbaki. Kemudian semua potongan ditolak.
P = [∑(Y − K) + (Y1 − K1) + (Y2 − K2) × n + (Yt − Kt)] − [D + S + DU + SU + QC + (∑LP + LP1)]
| Simbol | Maksud |
|---|---|
| Y, K | Gaji kasar dan KWSP yang sudah dibayar, Januari hingga bulan lepas |
| Y1, K1 | Gaji bulan ini dan KWSP pekerja atas gaji itu |
| Y2, K2 | Anggaran gaji dan KWSP untuk setiap bulan berbaki (Y2 sama dengan Y1) |
| n | Bilangan bulan berbaki selepas bulan ini (Januari: 11) |
| Yt, Kt | Bonus atau saraan tambahan bulan ini, dan KWSP atas bonus itu |
| D | Potongan individu RM9,000 |
| S, SU | Pasangan RM4,000; tambahan RM6,000 jika pasangan OKU |
| DU | Tambahan RM7,000 jika anda OKU |
| QC | RM2,000 × bilangan anak (anak 18+ yang belajar diploma ke atas di Malaysia atau ijazah ke atas di luar negara, dan anak OKU, dikira 4; anak OKU yang belajar di peringkat itu dikira 8) |
| ∑LP, LP1 | Tuntutan Borang TP1, terkumpul dan bulan ini |
K1 dan K2 dalam formula ini ialah simbol KWSP, bukan kategori cukai.
Yang ramai terlepas pandang ialah K2. Untuk PCB, KWSP yang boleh ditolak dihadkan RM4,000 setahun. K2 ialah baki had itu dibahagi bulan berbaki, atau K1, mana yang lebih rendah. Pekerja bergaji RM5,000 carum RM550 sebulan, tapi dalam formula K2 cuma RM313.63. Had ini cepat penuh: bila gaji melebihi RM3,020 sebulan, KWSP 11% setahun sudah lebih RM4,000, dan selebihnya tidak lagi mengurangkan PCB.
Langkah 3: Cari M, R dan B dalam Jadual 1 (jadual PCB 2026)
| P (RM) | M (RM) | R | B kategori 1 & 3 | B kategori 2 |
|---|---|---|---|---|
| 5,001 – 20,000 | 5,000 | 1% | −400 | −800 |
| 20,001 – 35,000 | 20,000 | 3% | −250 | −650 |
| 35,001 – 50,000 | 35,000 | 6% | 600 | 600 |
| 50,001 – 70,000 | 50,000 | 11% | 1,500 | 1,500 |
| 70,001 – 100,000 | 70,000 | 19% | 3,700 | 3,700 |
| 100,001 – 400,000 | 100,000 | 25% | 9,400 | 9,400 |
| 400,001 – 600,000 | 400,000 | 26% | 84,400 | 84,400 |
| 600,001 – 2,000,000 | 600,000 | 28% | 136,400 | 136,400 |
| Melebihi 2,000,000 | 2,000,000 | 30% | 528,400 | 528,400 |
B ialah cukai atas M selepas rebat. Nilai negatif pada dua baris pertama datang daripada rebat individu RM400 (dan RM400 lagi untuk pasangan dalam kategori 2). P RM5,000 ke bawah tiada cukai langsung.
Jadual PCB bercetak yang terakhir di laman HASiL ialah Jadual PCB 2018. Mulai 1 Mac 2019, jadual PCB hanya diberi dalam bentuk elektronik (e-Jadual PCB melalui e-CP39), jadi di laman itu tiada jadual PCB 2026 bercetak untuk dimuat turun. Nak tengok PCB ikut gaji, rujuk jadual RM3,000 hingga RM15,000 di atas, atau masukkan gaji anda dalam kalkulator.
Langkah 4: Bahagi dengan bulan berbaki, tolak zakat
PCB bulan ini = [(P − M) × R + B − (Z + X)] ÷ (n + 1)
X ialah PCB yang sudah dipotong tahun ini, Z pula zakat yang sudah dibayar. Zakat bulan ini ditolak selepas itu. Tiga peraturan kecil yang mengubah sen terakhir:
- Angka selepas dua titik perpuluhan dibuang terus, bukan dibundarkan: 123.4534 jadi 123.45.
- Jumlah PCB dibundarkan ke atas ke 5 sen terdekat: 287.02 jadi 287.05, 152.06 jadi 152.10.
- PCB bawah RM10 tidak dipotong. Tapi kalau PCB selepas tolak zakat jatuh bawah RM10, baki itu tetap dipotong.
Contoh HASiL sendiri (Januari): kategori 3, tiga anak, gaji RM5,500, KWSP RM605.
K2 = (4,000 − 605) ÷ 11 = 308.63
P = 4,895.00 + (5,500 − 308.63) × 11 − (D 9,000 + QC 6,000 untuk tiga anak) = 47,000.07
PCB = [(47,000.07 − 35,000) × 6% + 600] ÷ 12 = RM110.00
Sumber: contoh kiraan (Exhibit 5) dalam Spesifikasi PCB 2026 HASiL.
Kenapa gaji RM4,001 kena PCB RM50.10, tapi RM4,000 cuma RM16.70?
Sebab rebat cukai. Selagi P belum sampai RM35,001, anda dapat rebat RM400 (kategori 2: RM800), dan rebat itu sudah termasuk dalam nilai B Jadual 1. Sebaik P masuk julat 35,001 – 50,000, rebat itu hilang terus. Untuk bujang, B melompat dari −250 ke 600.
| Bujang, Januari | P setahun | PCB |
|---|---|---|
| Gaji RM4,000 (KWSP RM440) | 35,000.07 | 16.70 |
| Gaji RM4,001 (KWSP RM443) | 35,012.04 | 50.10 |
Beza gaji RM1, beza PCB RM33.40. P 35,000.07 masih jatuh dalam julat 20,001 – 35,000 sebab julat Jadual 1 ikut ringgit penuh, dan Kalkulator PCB HASiL pun beri RM16.70 dan RM50.10 untuk dua gaji ini. Cukai sebenar setahun ikut peraturan yang sama: rebat RM400 hanya untuk pendapatan bercukai RM35,000 ke bawah. Untuk kategori 2 tanpa anak, lompatan berlaku antara RM4,333 (tiada PCB) dan RM4,334 (RM50.05).
Bonus juga boleh menolak P melepasi garis ini, walaupun gaji biasa jauh di bawahnya. Contoh daripada Kalkulator PCB HASiL (tahun 2026): bujang, Januari, gaji RM3,814 (KWSP RM420) dengan bonus RM2,345 (KWSP RM258). PCB gaji biasa cuma RM11.08, tapi PCB bonus RM473.82, jadi jumlah dipotong RM484.90.
Bulan dapat bonus: macam mana PCB bonus dikira
HASiL guna lima langkah untuk saraan tambahan seperti bonus, insentif dan tunggakan gaji:
- Kira PCB gaji biasa macam bulan biasa (bonus belum dimasukkan). Anggar PCB setahun: PCB yang sudah dipotong + PCB bulan ini × baki bulan termasuk bulan ini.
- Kira semula P, kali ini campur bonus dan tolak KWSP atas bonus.
- Cukai setahun = (P − M) × R + B.
- PCB bonus = cukai setahun − (anggaran PCB setahun + zakat yang sudah dibayar).
- PCB bulan ini = PCB gaji biasa selepas zakat + PCB bonus, dibundarkan ke atas ke 5 sen terdekat sekali sahaja.
Dalam contoh April HASiL (kategori 3, tiga anak, gaji RM5,500, bonus RM8,250 dengan KWSP RM908), PCB gaji biasa RM106.20 dan PCB bonus RM727.50, jadi yang dipotong RM833.70.
Satu perkara kecil: kalau PCB gaji biasa bulan itu bawah RM10, Kalkulator PCB HASiL menganggapnya kosong semasa menganggar PCB setahun, jadi seluruh cukai atas bonus dipotong pada bulan bonus. Contohnya bujang bergaji RM3,700 dengan bonus RM2,000 pada Januari: PCB gaji biasa bawah RM10 dikira kosong, dan yang dipotong bulan itu RM152.00. Kalkulator ini ikut cara yang sama.
Bonus kena KWSP. Jika gaji biasa RM5,000 ke bawah dan bonus menjadikan upah bulan itu lebih RM5,000, syer majikan dikira 13% atas upah bulan itu, bukan 12%. PERKESO dan SIP pula tidak dikenakan atas bonus tahunan.
Zakat dan PCB
Zakat yang dipotong melalui gaji ditolak terus daripada PCB bulan itu: zakat RM100 kurangkan PCB RM100. Kalau zakat lebih besar, PCB jadi kosong dan zakat itu kekal dalam kiraan bulan-bulan seterusnya (nilai Z).
| PCB dikira | Zakat bulan ini | PCB dipotong |
|---|---|---|
| 120.00 | 100.00 | 20.00 |
| 15.00 | 8.00 | 7.00 |
| 15.00 | 20.00 | 0.00 |
| 8.00 (bawah RM10) | 5.00 | 0.00 |
Bayar zakat sendiri terus ke pusat zakat? Jumlah itu boleh dituntut melalui Borang TP1 (Bahagian D), dan majikan akan menganggapnya zakat bulan tuntutan dibuat.
Kenapa PCB saya lain daripada kalkulator ini?
Biasanya sebab salah satu perkara ini:
- Anda masuk kerja pertengahan tahun atau tukar majikan. Majikan baharu guna Borang TP3 (gaji, KWSP dan PCB dari majikan lama). Tandakan "Guna angka terkumpul" dalam Lebih pilihan.
- Gaji naik atau turun tahun ini, atau ada bonus bulan-bulan sebelumnya. Kalkulator anggap gaji sama sejak Januari.
- Anda sudah hantar Borang TP1 kepada majikan. Isi jumlah potongan bulan ini dalam Lebih pilihan.
- Ada manfaat berupa barangan (MBB) atau nilai tempat kediaman (NTK). Majikan masukkan nilainya dalam PCB walaupun tak muncul sebagai gaji di slip.
- OT. Kalkulator ini kira OT sebagai sebahagian gaji bulan semasa, sama seperti borang Kalkulator PCB HASiL yang letak gaji lebih masa dalam baris gaji kasar. Sistem gaji yang proses OT secara lain boleh beri angka sedikit berbeza.
- Majikan tetapkan anda sebagai bukan pemastautin (30% rata).
Untuk semakan akhir, masukkan angka yang sama di Kalkulator PCB HASiL (calcpcbplus.hasil.gov.my). Pastikan tahun 2026 dipilih dulu. Pada 24 September 2026, halaman itu masih dibuka dengan tahun 2025.
Disemak dengan contoh kiraan HASiL
| Kes | Angka HASiL | Kalkulator ini |
|---|---|---|
| Spesifikasi PCB 2026, contoh Januari (kategori 3, 3 anak, RM5,500) | 110.00 | 110.00 |
| Contoh Februari | 110.00 | 110.00 |
| Contoh Mac (TP1 RM300) | 108.20 | 108.20 |
| Contoh April (bonus RM8,250) | 833.70 | 833.70 |
| Kalkulator PCB HASiL: bujang, RM5,000, Januari | 110.00 | 110.00 |
| Sama, dengan bonus RM5,000 | 510.00 | 510.00 |
| Kalkulator PCB HASiL: bujang, RM3,778, Januari | 10.00 | 10.00 |
| Kalkulator PCB HASiL: bujang, RM4,000, Januari | 16.70 | 16.70 |
| Kalkulator PCB HASiL: bujang, RM4,001, Januari | 50.10 | 50.10 |
| Kalkulator PCB HASiL: kategori 2, tiada anak, RM4,333, Januari | 0.00 | 0.00 |
| Kalkulator PCB HASiL: kategori 2, tiada anak, RM4,334, Januari | 50.05 | 50.05 |
| Kalkulator PCB HASiL: bujang, RM3,814 + bonus RM2,345 | 484.90 | 484.90 |
| Kalkulator PCB HASiL: bujang, RM3,700 + bonus RM2,000 | 152.00 | 152.00 |
Kes bertanda "Kalkulator PCB HASiL" diisi dalam kalkulator HASiL itu sendiri (tahun 2026) pada 24 September 2026. Jadual zakat dalam spesifikasi dan setiap sempadan Jadual 1 juga diuji dalam kod kalkulator ini.
HASiL turut menerbitkan Soalan Ujian PCB 2026 untuk syarikat perisian gaji. Lima soalannya tentang kes khas: jawatan C-Suite, yuran pengarah yang dibayar setiap suku tahun dengan KWSP sukarela, Program Pekerja Berkepakaran Pulang, ekspatriat yang bermula dengan kontrak tiga bulan, dan pekerja berpengetahuan di wilayah tertentu. Kes-kes ini tidak diliputi kalkulator ini, dan jawapannya tidak diterbitkan.
Soalan lazim
- Gaji berapa baru kena PCB?
Bergantung pada kategori. Dengan KWSP 11% dan tanpa TP1, kiraan kalkulator ini untuk Januari 2026: bujang mula kena PCB pada gaji RM3,778 sebulan (RM10.00). Kategori 3 dengan dua anak mula pada RM4,112. Kategori 2 tanpa anak mula pada RM4,334, terus RM50.05 kerana rebat RM800 hilang sekali gus. Dengan dua anak, RM4,667.
- Boleh kurangkan PCB?
Boleh, dengan Borang TP1 kepada majikan. Pelepasan yang anda tuntut dalam borang itu (insurans, yuran pendidikan, perubatan ibu bapa dan lain-lain) ditolak daripada P bagi bulan tuntutan dibuat. Senarai item dan hadnya ada dalam borang itu sendiri.
- Pekerja asing atau bukan pemastautin?
PCB bukan pemastautin ialah 30% daripada saraan, tanpa sebarang potongan. Pekerja asing dengan kontrak 182 hari atau lebih dikira PCB seperti pemastautin. Untuk caruman, bukan warganegara bayar KWSP 2% dan majikan 2%, PERKESO termasuk LINDUNG 24 Jam (wajib), dan tiada SIP.
- Kenapa potongan PERKESO naik sejak Jun 2026?
Sebab LINDUNG 24 Jam, skim PERKESO untuk kemalangan di luar waktu kerja, bermula 1 Jun 2026. Pekerja bayar 0.75% gaji untuk skim ini dalam fasa pertama hingga 31 Mei 2028 (kadar naik ke 1.00% mulai 1 Jun 2028), di atas syer Keilatan 0.5%. Pada gaji RM6,000 ke atas, potongan PERKESO pekerja jadi RM74.40 sebulan, berbanding RM29.75 sebelum Jun. Siapa wajib dan siapa boleh opt-out, rujuk halaman LINDUNG 24 Jam PERKESO.
IN ENGLISH
PCB calculator 2026 and net salary calculator (Malaysia)
This PCB calculator works out your 2026 monthly tax deduction (PCB, also called MTD) with the computerised formula in the 2026 specification from LHDN (HASiL). It also takes off EPF (KWSP), SOCSO (PERKESO) and EIS (SIP) using the current contribution tables. That makes it a net salary calculator too: you see your take-home pay, and what your employer pays on top.
Since June 2026 the employee's SOCSO share includes 0.75% for LINDUNG 24 Jam, PERKESO's non-work accident scheme, unless you are a local worker who opted out. On a RM5,000 salary that is RM61.90 a month instead of RM24.75. Treat the results as estimates, not tax advice. Your payslip can differ if you changed jobs, gave your employer a Form TP1 or had a bonus earlier in the year.
Tentang KalkulatorPCB
KalkulatorPCB ditulis dan diselenggara oleh Edwin Tan.
Ini laman bebas, tiada kaitan dengan HASiL, KWSP, PERKESO atau JTKSM, dan bukan pembekal perisian gaji yang disahkan HASiL. Formula dan kadar diambil terus daripada dokumen agensi-agensi ini: Spesifikasi PCB 2026 dan Borang TP1 (HASiL), Jadual Ketiga Akta KWSP 1991, jadual caruman Akta 4 dan Akta 800 (PERKESO), dan Akta Kerja 1955.
Nampak angka yang salah, atau ada soalan? Emel: hello@kalkulatorpcb.my
Privasi
Semua kiraan berlaku dalam pelayar anda. Gaji dan angka lain yang anda taip tidak dihantar atau disimpan di mana-mana pelayan kami. Kami tidak meminta nombor MyKad, nombor cukai atau maklumat majikan.
Laman ini menggunakan alat analitik (jika ada) untuk mengira bilangan pelawat, dan memaparkan iklan Google AdSense (jika ada). Vendor pihak ketiga, termasuk Google, menggunakan kuki untuk memaparkan iklan berdasarkan lawatan anda sebelum ini ke laman ini dan laman lain. Kuki pengiklanan Google membolehkan Google dan rakan kongsinya memaparkan iklan kepada anda berdasarkan lawatan tersebut. Anda boleh menolak iklan diperibadikan di Tetapan Iklan Google atau di www.aboutads.info.
Kami mengendalikan sebarang data peribadi (contohnya emel yang anda hantar kepada kami) mengikut Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Untuk bertanya atau meminta data anda dipadam, emel hello@kalkulatorpcb.my.
Penafian
Semua angka di laman ini ialah anggaran dan bukan nasihat cukai, perundangan atau kewangan. Jumlah sebenar bergantung pada rekod majikan, borang TP1 dan TP3, serta keputusan HASiL, KWSP, PERKESO dan JTKSM. Semak slip gaji anda dan rujuk agensi berkenaan sebelum membuat keputusan.